DAP ada pasukan baharu tentang PAS – Hadi

DAP ada pasukan baharu tentang PAS – Hadi

PAS mendakwa DAP kini berjaya mewujudkan pasukan baharu dalam kalangan rakan-rakan berwajah Islam yang berwalikannya untuk menentang parti itu.

Justeru, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tidak hairanlah parti yang nyata ideologinya menentang Islam kini bertukar nada kepada tidak bersuara secara terang-terangan.

“Bahkan, secara nyata mereka juga bergabung dengan semua kumpulan liberal dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan media, tanpa batas akhlak dan halal haram.

“Semuanya demi mencukupkan jumlah sokongan yang dapat menghalang pengaruh Islam dalam kerajaan, walaupun mereka berlindung sementara waktu sebalik Islam dalam perlembagaan mengikut tafsiran yang salah oleh mereka yang buta al-Quran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, gabungan berkenaan turut disertai kluster mahkamah dan mereka yang sedang menunggu perbicaraan kerana kes rasuah yang berskala besar serta termasuk kesalahan lain yang bersedia dengan umpan untuk diselamatkan.

“Apabila PAS hanya berkuasa di peringkat negeri sahaja mengikut konsep federalisme, walaupun dengan kuasa yang sangat terbatas, negeri-negeri itu tetap disusahkan dengan pelbagai cara, halangan dan penentangannya yang nyata dan tersembunyi.

“Sekalipun tindakan yang diambil itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi yang diamalkan di negara barat sendiri yang menjadi rujukan mereka,” katanya.

Abdul Hadi berkata, adalah tidak menghairankan kerajaan di luar tabii demokrasi ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah PAS berjaya mendapat jumlah kerusi terbesar.

“Walaupun PAS telah berusaha bersama dalam Perikatan Nasional (PN) daripada pelbagai parti yang tidak ekstrem untuk menubuhkan kerajaan campuran mengikut prosesnya tanpa PAS menjadi pemimpin utama,” katanya. – Malaysiapost

Komen