Hanya di Sabah Ketua Menteri tiada parti – Shafie Apdal

Hanya di Sabah Ketua Menteri tiada parti – Shafie Apdal

KEDUDUKAN Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah tidak lagi selari dengan Perlembagaan negeri itu yang memaktubkan Ketua Menteri mestilah merupakan Presiden daripada sebuah parti politik.

Perkara itu ditegaskan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berkata, keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah bukan lagi bergantung dengan jumlah sokongan akuan bersumpah (SD) yang diterimanya, sebaliknya status Hajiji sendiri yang ketika ini tidak menjadi ahli mana-mana parti mahu pun presiden sebuah parti.

“Tak payah cerita pasal nombor (sokongan), mana ada kerajaan boleh dibentuk jika Ketua Menterinya tidak mempunyai parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Hajiji yang merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memiliki sokongan SD yang cukup untuk mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah, semalam.

Mohd Shafie berkata, status Hajiji ibarat sudah terang lagi bersuluh melanggari Perlembagaan negeri Sabah.

“Kalau ikut Perlembagaan negeri Sabah, mana ada kerajaan boleh dibentuk, Ketua Menterinya tidak mempunyai parti. Apa parti dia?.

“Dalam Perlembagaan negeri jelas menyebut parti politik yang menang majoriti iaitu parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16. GRS tidak bertanding, yang bertanding Bersatu.

“Jadi apabila Perikatan Nasional (PN) keluar. PN/Bersatu hilang kelayakan sebab mana ada ketua parti (GRS) bertanding dalam PRN-16.

“Kalau dia ada nombor (sokongan), kita pun ada nombor jadi, tak payah cerita pasal nombor. Kalau kira SD, semua pun ada SD,” katanya. – Malaysiapost

Komen