Kerajaan bincang isu kenaikan kos umrah dengan Arab Saudi

Kerajaan bincang isu kenaikan kos umrah dengan Arab Saudi

ISU kenaikan kos menunaikan umrah susulan peningkatan kadar harga hotel di Mekah dan Madinah akan dibincangkan dengan kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata perkara itu akan dikemukakan pihaknya yang kini berada di negara berkenaan.

“Saya ketika ini berada di Arab Saudi mewakili negara untuk menghadiri Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023.

“Selain berbincang isu-isu berkaitan pengurusan haji dan umrah, saya juga akan mengemukakan isu kenaikan kos ini kepada Menteri Haji Kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan media mengenai isu berlaku kenaikan kadar harga hotel di Mekah dan Madinah yang dikenakan oleh pengusaha hotel.

Mohd Na’im, berkata pihaknya memahami perkara itu sedikit sebanyak telah membangkitkan keresahan para jemaah umrah, namun mengakui ia adalah di luar kawalan.

“Kami melihat situasi ini adalah impak daripada kenaikan kos di negara Arab Saudi. Ia tentunya memberi kesan bukan setakat kepada jemaah umrah negara Malaysia bahkan kepada jemaah negara-negara lain juga.

“Walau bagaimanapun, saya mengharapkan pihak agensi umrah dapat mempertimbangkan ruang dan kaedah terbaik
agar kenaikan kos keseluruhan yang dikenakan tidak melampau sehingga membebankan bakal jemaah umrah,” katanya.

Terdahulu, bakal jemaah umrah diminta bersiap sedia sekiranya dimaklumkan berlaku kenaikan harga pakej umrah oleh agensi pelancongan masing-masing pada saat akhir sebelum mereka berlepas ke tanah suci.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), memaklumkan kenaikan harga itu berlaku berpunca daripada kenaikan mendadak kadar harga hotel di Kota Makkah dan Madinah pada masa ini.

Naib Presiden Haji dan Umrah MATTA, Mohd Azri Abd Razak, berkata peningkatan harga hotel itu mengakibatkan harga pakej umrah yang sudah ditetapkan oleh segelintir agensi pelancongan, terpaksa dinaikkan. – Malaysiapost

Komen