KPI Menteri Kerajaan Perpaduan dibentang minggu depan

KPI Menteri Kerajaan Perpaduan dibentang minggu depan

SEMUA Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan, akan membentangkan indeks prestasi utama (KPI) mereka setakat ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu depan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam satu program permukiman yang akan dihadiri barisan Kabinetnya.

Beliau berkata dalam program itu, Menteri-Menteri Kabinet yang mengangkat sumpah pada 3 Disember lalu, akan berpeluang memberikan input mengenai pencapaian mereka setelah lebih sebulan dilantik ke jawatan masing-masing.

Menurutnya, selain itu mereka juga akan membentangkan mengenai perancangan masa depan kementerian masing-masing.

“Dalam masa satu minggu, sesi pemukiman akan diadakan untuk semua menteri membentangkan pencapaian setakat ini.

“Pada sesi itu mereka boleh bentang pencapaian, KPI hendak dicapai dan rancangan masa depan,” katanya dalam sesi soal jawab pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan di Jakarta, malam tadi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata kerajaan berusaha memacu semula pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta meyakinkan, dan fokus utama pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah pengukuhan ekonomi yang mampan dengan menarik pelaburan selain menjamin keadilan sosial.

“Malaysia mesti bebas daripada kegelojohan kelompok elit kecil yang menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri dan puak mereka. Saya tidak akan bertolak ansur sama sekali walaupun ini menggugat kedudukan saya,” katanya.

Anwar kini dalam lawatan dua hari ke Indonesia yang juga kunjungan rasmi pertamanya ke luar negara sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lalu.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, hari ini. – Malaysiapost

Komen