Lembaga Disiplin PKR tak profesional – Tian Chua

Lembaga Disiplin PKR tak profesional – Tian Chua

BEKAS Naib Presiden PKR Tian Chua menyifatkan tindakan parti mengumumkan pemecatannya dan empat ahli lain kepada media terlebih dahulu, sebagai tidak profesional dan tidak sopan.

Beliau turut menyatakan rasa kesal dengan tindakan berkenaan yang dibuat oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Dr Tan Yee Kew.

“Pengerusi Jawatankuasa Disiplin telah memilih untuk mengumumkan pemecatan saya kepada media sebelum menghantar sebarang pemberitahuan kepada saya dan individu-individu lain yang berkenaan.

“Perbuatan yang sangat tidak profesional ini amat dikesali dan tidak sopan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tian Chua, sebagai aktivis PKR yang menyaksikan kelahiran gerakan dan terlibat berterusan dalam perjuangan selama lebih dua dekad, beliau sedih dan kecewa dengan keputusan yang dibuat.

Katanya, sepanjang perjuangan dengan parti itu, beliau tidak pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti.

“Hati nurani saya bersih. Sejak awal lagi saya bersedia menerima akibat kerana bertanding dalam pilihan raya tanpa restu pucuk pimpinan parti.

“Saya akur bahawa parti perlu menjaga disiplin organisasi,” katanya.

Namun, menurutnya, selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pihak-pihak yang berlawan telah mengetepikan permusuhan semasa pilihan raya.

“Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tian Chua berkata, tindakan keras yang dianggap menerapkan peraturan adalah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik saat ini.

Bagaimanapun tokoh reformasi PKR itu menegaskan beliau mengambil tanggungjawab atas semua tindakan yang dibuat tanpa menyalahkan sesiapa.

“Saya menyertai perjuangan reformasi sejak tahun 1998 hanya dengan tujuan membawa perubahan demokrasi kepada tanah air.

“Hari ini saya bangga melihat usaha bertahun-tahun tidak sia-sia. Saya sedikit pun tidak menyesali setiap minit yang ditabur dalam perjuangan ini,” katanya.

Malah, Tian Chua berjanji kepada penyokongnya bahawa beliau tidak akan memperlahankan langkah kegiatan untuk melakukan pembaharuan.

“Saya tidak akan undur dari berjuang untuk membela hak dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Semalam, media melaporkan Tian Chua dipecat daripada parti PKR susulan tindakannya bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon Bebas pada PRU-15 yang lalu.

Selain Tian Chua, empat lagi ahli turut dipecat kerana bertanding dalam pilihan raya tanpa persetujuan parti.

Empat yang dipecat terdiri daripada Puah Chee Haur dari cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (cabang Gopeng), M Mohganan (cabang Taiping) serta Nur Khairunisa Abdullah (cabang Sadong Jaya). – Malaysiapost

Komen