NGO ‘Gerakan Keadilan Untuk Najib’ serah memorandum kepada PM

NGO ‘Gerakan Keadilan Untuk Najib’ serah memorandum kepada PM

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Datuk Seri Najib Razak hari ini tampil menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wakil jurucakapnya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, gabungan tersebut menggesa agar kerajaan mengambil tindakan segera terhadap penahanan tidak sah ke atas bekas Perdana Menteri itu.

“Satu tindakan drastik dan pantas harus diambil oleh kerajaan bagi memastikan Najib diberikan ruang untuk dibebaskan dan kes SRC ini dibicarakan semula dengan adil tanpa ada sebarang kepincangan dan keraguan,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Datuk Seri Najib Razak hari ini tampil menyerahkan memorandum.

Terdahulu, memorandum sebanyak lima muka surat itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai.

Sementara itu, seorang lagi wakil jurucakap, Datuk Hamidah Osman berkata, penyerahan memorandum itu berkemungkinan yang terakhir daripada gabungan berkenaan memandangkan mereka sudah menyerahkan ia kepada beberapa pihak sebelum ini termasuk Peguam Negara, Parlimen serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Dalam masa sama, Hamidah turut berharap Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dapat memberi komen atau mengeluarkan satu kenyataan rasmi susulan penyerahan memorandum yang dibuat pada 19 Disember lalu.

“Kita harap Datuk Seri Azalina selaku menteri undang-undang sila beri komen secara rasmi apa situasi sebenar Najib. Kita dah hantar dua minggu sudah, kita tak dengar lagi apa komen beliau,” katanya. – Malaysiapost

Komen