Pertemuan Anwar-Jokowi perkukuh kesepakatan Malaysia-Indonesia

Pertemuan Anwar-Jokowi perkukuh kesepakatan Malaysia-Indonesia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan Indonesia sepakat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara menerusi kerjasama ekonomi, sumber manusia, keselamatan dan budaya.

Anwar berkata, perkara itu dinyatakan pada sidang media sebelum mengakhiri pertemuan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) di Istana Kepresidenan Bogor, Indonesia, petang tadi.

“Kami juga bersetuju pelbagai perbincangan yang belum diputuskan dapat diselesaikan segera serta perjanjian ditandatangani tahun ini.

“Saya juga tegaskan bahawa Malaysia akan hindari isu-isu melibatkan pekerja Indonesia yang boleh meretakkan hubungan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran Facebook, sebentar tadi.

Perdana Menteri juga berkata, isu perbatasan melibatkan Malaysia-Indonesia akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri dalam masa terdekat.

Katanya, Malaysia turut ambil pendekatan positif supaya pertumbuhan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara juga beri manfaat kepada wilayah di Malaysia terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Malaysia juga akan memberi tumpuan kepada program hiliran dan ekonomi digital seperti yang dilaksanakan pentadbiran Pak Jokowi. Dan ini sekali gus dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi di negara dan pastinya juga bersama dengan Indonesia dengan lebih meyakinkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen