PN tidak mahu rosakkan kepimpinan Sabah – Hamzah

PN tidak mahu rosakkan kepimpinan Sabah – Hamzah

PERIKATAN Nasional (PN) dan parti komponennya, Bersatu, menegaskan tidak mahu merosakkan kepimpinan Sabah yang sedia ada.

Malah, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu yang kini bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyuarakan hasrat untuk terus bersama parti itu.

Beliau menganggap keretakan antara Bersatu dan kumpulan diketuai Hajiji sebagai masalah dalaman.

“Itu masalah kami. Masalah dalaman,” katanya dipetik Bernama selepas menemui kepimpinan Bersatu Sabah di Kota Kinabalu.

Beliau diminta mengulas sama ada Bersatu masih menyokong Hajiji walaupun pemimpin berkenaan sudah tidak bersama parti itu.

Sebelum ini, Umno Sabah mengumumkan menarik balik sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas mendakwa Pengerusi GRS itu melanggar perjanjian yang dibuat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

Bulan lalu, Hajiji dan Adun Bersatu Sabah lain meninggalkan parti itu selepas pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu mengumumkan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

GRS menganggotai Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, bersama Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak dan sekutu lain, manakala PN yang terdiri daripada Bersatu dan PAS membentuk blok pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, Bersatu sedang menunggu pengesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung status Bersatu Sabah dalam GRS. – Malaysiapost

Komen