PUTRA kutuk cubaan ugut badan kehakiman

PUTRA kutuk cubaan ugut badan kehakiman

BADAN kehakiman adalah satu badan menjulang kedaulatan undang-undang dan segala yang diputus atau hukuman yang dijatuhkan pastinya berdasarkan fakta dan pembuktian yang telah diteliti.

Ketua Pergerakan Wira PUTRA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pendedahan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung tindakan kumpulan atau golongan yang cuba menakut-nakutkan badan kehakiman terhadap kes politik yang pernah dibicarakan, adalah sangat tidak wajar.

“Wira PUTRA mengutuk sekeras-kerasnya kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menakut-nakutkan atau cuba menggugat badan kehakiman.

“Golongan ini boleh diumpamakan sebagai perosak kebebasan badan kehakiman dan mempunyai nilai moral yang rendah kerana membuat tekanan lebih kepada kepentingan golongan mereka dan tidak mengendahkan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, PUTRA tetap berdiri teguh dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman kerana Badan Kehakiman adalah salah satu dari cabang institusi sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

“Hakim-hakim yang ditugaskan adalah dari kalangan yang bijak dan mahir dalam bidang perundangan maka (mereka) tidak perlu bimbang dan rasa takut dengan sebarang ugutan untuk menakut-nakutkan ini, kerana majoriti rakyat Malaysia bersama para hakim,” katanya.

Tegasnya lagi, PUTRA sedia bertempur dalam apa bentuk keadaan dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat badan kehakiman lebih-lebih lagi yang bermotifkan politik.

“PUTRA ini kecil-kecil cili padi atau umpama kala jengking, walau kecil tetapi sentiasa berwaspada dengan apa saja kemungkinan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan percubaan pihak tertentu untuk menakut-nakutkan badan kehakiman dalam kes politik yang dibicarakan tahun lepas.

Justeru, beliau menggesa hakim untuk terus membuat keputusan tanpa rasa takut atau pilih kasih. Bagaimanapun, Tengku Maimun tidak mendedahkan siapa pihak yang dimaksudkannya itu.

“Tahun lalu, cubaan untuk menakut-nakutkan atau sebaliknya memberikan tekanan yang tidak wajar terhadap hakim yang mengetuai kes kepentingan awam semakin ketara.

“Percubaan ini adalah penghinaan langsung terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman. Mereka sememangnya patut dikutuk dan sememangnya ramai yang dengan tegasnya bersuara menentang mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen