Semua kena gencatan politik, kata Zahid

Semua kena gencatan politik, kata Zahid

DEMI kepentingan rakyat dan negeri Sabah, semua pihak perlu melakukan gencatan politik sekali gus mencari penyelesaian yang muktamad dan menamatkan segala kemelut yang berlaku. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masih banyak jendela dan ruang rundingan perlu dibuka berhubung kemelut politik yang sedang melanda Sabah.

“Semua pihak harus melakukan gencatan (politik) sehingga Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya sendiri dan Ketua Menteri Sabah berunding duduk enam mata untuk mencari penyelesaian yang muktamad bagi kepentingan Sabah.

“Paling penting, bagaimana semua pihak harus menerima hakikat bahawa kestabilan politik di Pusat harus diwujudkan di semua negeri,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno itu berkata demikian pada program temu bual Naratif Khas disiarkan RTM, malam ini.

Kemelut politik Sabah tercetus apabila BN Sabah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. 

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan, tindakan Hajiji yang membelakangkan rundingan untuk merombak Kabinet negeri itu menjadi punca BN Sabah menarik sokongan selain pemecatan Datuk Seri Salleh Said Keruak daripada jawatan Pengerusi Qhazanah Sabah. -Malaysiapost

Komen