‘Syabas Tun Maimun’ – Wan Fayhsal

‘Syabas Tun Maimun’ – Wan Fayhsal

KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memuji Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun terhadap keberaniannya mengecam tindakan pihak tertentu yang cuba mengugut dan menjejaskan badan kehakiman.

Ahli Parlimen Machang itu, berkata beliau berharap badan kehakiman negara tidak berasa gentar dengan mana-mana pihak termasuk di kalangan pemimpin yang sedang berkuasa.

“Syabas Tun Maimun. Jangan gentar dengan mana-mana pihak hatta pembesar negara yang sedang berkuasa dan berdepan tuduhan mahkamah dan yang sudah dijatuhkan hukuman bersalah,” katanya menerusi Facebook.

Malah, bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu berkata, beliau percaya rakyat akan bangun mempertahankan institusi kehakiman sekiranya wujud tekanan dan konspirasi tertentu untuk menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Terdahulu, Tengku Maimun mendedahkan bahawa beliau pernah menerima ancaman bunuh dan berlaku cubaan untuk menakut-nakutkan badan kehakiman ketika prosiding kes melibatkan tokoh dan personaliti tertentu.

Beliau berkata, cubaan menakut-nakutkan badan kehakiman dengan memberi tekanan terhadap hakim yang mendengar kes berkepentingan awam adalah satu penghinaan langsung kepada Kedaulatan Undang-undang dan kebebasan kehakiman.

Katanya, perbuatan itu patut dikecam kerana ia memburukkan imej mahkamah melalui kritikan yang tidak adil dan berat sebelah, hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan tertentu. – Malaysiapost

Komen