Tengku Maimun dedah cubaan ugut kebebasan kehakiman

Tengku Maimun dedah cubaan ugut kebebasan kehakiman

KETUA Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan bahawa beliau pernah menerima ancaman bunuh dan berlaku cubaan untuk menakut-nakutkan badan kehakiman ketika prosiding kes melibatkan tokoh dan personaliti tertentu.

Beliau berkata, cubaan menakut-nakutkan badan kehakiman dengan memberi tekanan terhadap hakim yang mendengar kes berkepentingan awam adalah satu penghinaan langsung kepada Kedaulatan Undang-undang dan kebebasan kehakiman.

Katanya, perbuatan itu patut dikecam kerana ia memburukkan imej mahkamah melalui kritikan yang tidak adil dan berat sebelah, hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan tertentu.

“Dalam setiap kes yang diputuskan oleh mahkamah, ada berpuas hati, ada yang tidak, itu lazim.

“Ada kes tertentu, kami terima sokongan mahukan kecaman malah saya juga dapat ancaman bunuh. Sedangkan mana-mana hakim tidak mempunyai sebarang agenda dalam setiap keputusan kes mahkamah yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya masyarakat tidak membuat kenyataan yang keterlaluan dan berfikir terlebih dahulu sebelum membuat komen kerana ia hanya akan mencerminkan mereka sebagai individu yang kurang kefahaman mengenai undang-undang.

Beliau berkata, ketika mahkamah mendengar kes-kes yang melibatkan tokoh atau personaliti tertentu, pandangan awam akan lebih tertumpu berbanding kes lain.

“Ada komen yang diberikan kepada Badan Kehakiman itu menjadi agak keterlaluan dan berat sebelah.

“Ada pendapat dikeluarkan berbaur politik, sedangkan pada pandangannya, ia bukan mesej yang membina dalam bidang perundangan,” katanya.

Pada 20 Ogos lalu, seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki mengugut dan mengancam untuk membunuh Tengku Maimun. – Malaysiapost

Komen