‘Terpulang kepada Najib fail petisyen pada PBB’ – Ketua Hakim

‘Terpulang kepada Najib fail petisyen pada PBB’ – Ketua Hakim

BADAN kehakiman telah melaksanakan tanggungjawab untuk menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Justeru, Tengku Maimun berkata, terpulang kepada Najib jika mahu merujuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Tengku Maimun berkata, badan kehakiman tidak terjejas dengan petisyen yang difailkan Najib kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) berhubung dakwaan ‘penahanan sewenang-wenangnya’.

“Beliau (Najib) boleh melakukan apa yang dia mahu, kerana tugas kami sudah selesai, kami telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab kami.

“Apa sahaja jalan yang dia ingin terokai, itu bukan tanggungjawab kami. Terpulang kepada dia apa yang dia mahu lakukan,” katanya.

Tengku Maimun berkata demikian pada sidang media di luar acara Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Tengku Maimun adalah sebahagian daripada lima panel Mahkamah Persekutuan yang pada Ogos tahun lalu menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan bersalah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikaitkan dengan kes SRC.

Baru-baru ini, Najib memfailkan petisyen kepada UNWGAD bagi meminta dibebaskan atau dibicarakan semula.

Ia susulan hasil pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu, sekali gus didakwa mempunyai kecacatan serius dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya memohon panel UNWGAD membabitkan lima pakar keadilan antarabangsa memutuskan bahawa penolakan rayuannya pada 23 Ogos lalu adalah tidak adil, melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

Komen