Umno Sabah ada maruah dan prinsip

Umno Sabah ada maruah dan prinsip

PEMUDA Umno Sabah menyatakan kesal dengan polemik politik yang terjadi di negeri berkenaan sehingga membawa kepada penarikan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketuanya, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain, berkata terdapat banyak versi yang cuba dimainkan mendakwa bahawa Umno Sabah gila kuasa dan jawatan.

Beliau berkata, hakikatnya Umno Sabah cuba berpegang teguh kepada prinsip persefahaman antara tiga parti utama semasa Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) yang lalu, iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu Sabah.

Menurutnya, gabungan politik itu dinamakan sebagai Gabungan Rakyat Sabah, sebelum ia didaftarkan sebagai parti politik berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Yang mana setiap komponen dalam gabungan ini berkongsi kuasa dan harus saling menghormati dalam membuat sesuatu keputusan demi kepentingan rakyat.

“Malangnya, perkongsian kuasa ini tercemar apabila Ketua Menteri telah membelakangi Perjanjian Kerjasama BN dan GRS dengan menyokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10 dan membentuk Kerajaan Persekutuan sebelum ‘patah balik’ (U-turn).

“Kemuncaknya apabila Ketua Menteri memecat Datuk Seri Salleh Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah tanpa berbincang dengan pemimpin utama BN Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan apabila pemimpin-pemimpin Umno Sabah cuba dilaga-lagakan dengan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri kepada salah satu pemimpin utama negeri untuk menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Ke mana sudah hilangnya semangat perkongsian kuasa dan hormat-menghormati itu?

“Umno Sabah juga mempunyai maruah politik. Kalau sudah pemimpin yang diangkat menjadi ketua bertindak sesuka hati, sudah pasti Umno Sabah akan bertindak balas,” tegasnya.

Menurutnya, setiap tindakan yang dilakukan pasti akan ada reaksi balas dan adalah wajar Umno Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

“Nasihat kami buat Ketua Menteri, berlaku adillah dan jujur kepada rakan kongsi anda selepas ini. Pimpinlah negeri ini dengan baik dan teratur.

“Umno Sabah akan menjadi pembangkang yang berhemah dalam melaksanakan semak dan imbang demi kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen