Abdul Hadi yakin gelombang kemenangan PN akan berterusan

Abdul Hadi yakin gelombang kemenangan PN akan berterusan

PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin ‘gelombang’ kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini akan berpanjangan hingga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN, berkata jika dilihat keputusan dalam PRU-15 pada 19 November 2022, Pas dan PN menyapu bersih kerusi Parlimen di negeri diperintahnya iaitu Kelantan, Terengganu, dan Kedah hanya satu kerusi terlepas.

“Ia menandakan kita ada kekuatan dan hasil ‘post mortem’ yang dibuat, kita dapati bahawa undi-undi di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kita menang pada keseluruhannya.

“Kejayaan gelombang ini akan berpanjangan khususnya kerajaan yang diperintah Pakatan Harapan (PH) hari ini adalah tidak menentu,” katanya dalam sidang media di Majlis Dialog Bersama Gerakan, di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang.

Abdul Hadi juga yakin PN akan menjadi pilihan rakyat kerana kerajaan perpaduan yang ditubuhkan ketika ini bukanlah perpaduan yang sebenar.

“Nak kata kerajaan perpaduan..ia bukan perpaduan. Kalau perpaduan mestilah kerajaan tiada pembangkang, atau parti pembangkang terlalu kecil dan tiada peranan.

“Barulah ia kerajaan perpaduan. Kalau separuh pembangkang dan separuh kerajaan ia bukan kerajaan perpaduan. Istilah pun dah tak betul.

“Kemudian masih banyak masalah-masalah yang tak selesai dan kenyataan-kenyataan yang dibuat tapi tidak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti komponen PN, beliau memaklumkan proses itu sudah 80 peratus selesai.

“Sebenarnya semasa PRU-15 yang lalu sudah dibuat perbincangan secara tidak langsung. Itu jadi asas perbincangan (pembahagian kerusi) untuk DUN.

“Namun, perlu juga lihat pada strategi untuk hadapi PRN yang akan datang nanti.

“Boleh dikatakan 80 peratus pembahagian kerusi sudah selesai,” katanya.

Enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan PRN tahun ini. – Malaysiapost

Komen