Cubaan rampas kuasa, isu jawatan Ketua Menteri panaskan semula politik Sabah

Cubaan rampas kuasa, isu jawatan Ketua Menteri panaskan semula politik Sabah

POLITIK Sabah tidak pernah sunyi daripada isu panas yang menjadi tumpuan pemerhati seluruh negara, malah ia sudah menjadi sesuatu yang lumrah bagi Negeri di Bawah Bayu itu.

Sejak awal kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, ada saja peristiwa politik yang berlaku dan menjadi catatan sejarah untuk tatapan generasi baharu.

Sebutlah apapun peristiwa, bermula dari kerap bertukar kerajaan negeri, pemimpin melompat dari satu parti ke parti lain, mengadakan pilihan raya paling banyak dan cubaan menukar kerajaan atau secara kasarnya disebut rampasan kuasa.

Semua itu pernah disaksikan rakyat Sabah, malah 4 Januari lalu satu lagi cubaan menukar kerajaan negeri dan Ketua Menteri dirancang, dikatakan didalangi Parti Warisan (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) Sabah.

Hanya kali ini cubaan itu tidak berjaya selepas kerjasama dua parti yang sebelum ini berada di blok bertentangan dikatakan tidak dipersetujui sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada BN.

Sidang media yang dijadual dibuat Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pacific Sutera, Kota Kinabalu terpaksa dibatalkan, manakala kumpulan BN Sabah diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berkumpul di Bangunan Umno Sabah bersurai pada lewat petang hari sama.

Gerakan yang disebut ‘Langkah Kinabalu’ atau ‘Langkah Pacific Sutera’ itu bagaimanapun belum berakhir, sebaliknya kedua-dua pihak mempunyai ‘Plan B’ bagi memastikan kerajaan, khususnya usaha menjatuhkan Ketua Menteri Sabah sekarang, Datuk Seri Hajiji Noor tercapai.

Benar, sehari selepas kegagalan cubaan Langkah Kinabalu, BN Sabah yang ditunjangi Umno Sabah mengumumkan tindakan berani mati dengan membawa keluar BN daripada kerjasama dalam kerajaan negeri yang dibentuk sejak Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.

Dengan 18 Ahli Dewan Undangan Negeri di bawah BN, ditambah dengan 19 Adun Warisan dan tiga Adun Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang berpihak kepada usaha menukar kerajaan itu, sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji.

Namun, drama belum lagi berakhir kerana rupanya bukan semua Adun BN mahu menuruti tindakan yang diputuskan kepemimpinan BN Sabah, sebaliknya menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku.

Seramai lima Adun dari Umno membantah tindakan itu atas alasan bahawa sekarang bukan masa untuk merebut kuasa politik.

Mereka sependapat sekarang adalah masa untuk bersatu agar kerajaan negeri sedia ada dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga dan sumber untuk memulih serta memajukan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Lima Adun Umno terbabit ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Dalam kenyataan bersama sebelum ini, mereka mengaku terkejut dengan tindakan Bung Moktar selaku Ketua Umno Sabah yang berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang sah.

Berikutan itu mereka mengisytihar sokongan tidak berbelah bahagi kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri yang bagi mereka kedudukannya sah di sisi Perlembagaan Negeri.

Isu ‘locus standi’ atau hak perlembagaan dijadikan alasan utama BN / Umno Sabah dan Warisan untuk mendesak supaya Hajiji mengosongkan jawatan kerana bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu didakwa tidak berparti selepas mengumumkan keluar daripada Bersatu bersama 14 Adun lain pada Disember lalu.

Bung Moktar, Mohd Shafie dan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony membangkitkan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah yang antara lain menetapkan seseorang Ketua Menteri mesti seorang ketua parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN.

Hajiji dikatakan sudah hilang sokongan majoriti berikutan tindakan Umno BN menarik balik sokongan dalam kerajaan negeri.

Berikutan itu, ketiga-tiga pemimpin terbabit memohon kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk melaksanakan fungsi selaku Ketua Negeri dengan menyemak pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah yang dibaca bersama Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Bagaimanapun, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri menafikan dakwaan berkenaan, selain menegaskan Hajiji masih mendapat sokongan majoriti Adun dan tidak timbul isu ‘locus standi’ berhubung kelayakannya sebagai Ketua Menteri.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun menjelaskan Hajiji dan semua Adun yang keluar daripada Bersatu menjadi ahli langsung GRS, sekali gus menyangkal dakwaan yang mengatakan mereka kini tidak berparti.

Beliau turut menjelaskan GRS bukan setakat sebuah gabungan parti, sebaliknya didaftar sebagai sebuah parti politik di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang boleh menerima keahlian secara individu dan parti komponen.

Masidi menjelaskan GRS juga didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan logonya boleh digunakan dalam proses pilihan raya.

Kemelut politik yang timbul di Sabah ini dijangka berlarutan sehingga status Hajiji diputuskan pihak Istana Seri Kinabalu atau mungkin terpaksa melalui pembubaran DUN seperti disarankan pihak tertentu.

Apa yang jelas, politik Sabah memang sentiasa ‘hidup’, seolah-olah ada putaran yang mana ada ketikanya tenang dan ada waktunya menjadi panas serta bergelora.

Rakyat Sabah menyaksikan ketenangan politik selama hampir tiga tahun selepas PRN16 pada 2020 sebelum timbulnya kemelut yang berlaku pada hari ini.

PRN16 juga adalah rentetan daripada kemelut politik yang melanda kerajaan Warisan berikutan perubahan kerajaan persekutuan pada masa itu yang kemudian menyaksikan kerajaan yang dibentuk Mohd Shafie bersama Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 itu tumbang di tangan GRS-BN.

Ketika Warisan mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 pula, krisis politik turut berlaku di antara BN dan Warisan.

BN yang dipimpin Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pada masa itu mulanya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah 32 daripada 60 kerusi DUN menerusi kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Namun, berselang sehari selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Musa hilang kuasa berikutan tindakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) keluar BN dan membentuk kerjasama dengan Warisan untuk menubuhkan kerajaan.

Maka berubahlah kerajaan kepada Warisan seiring perubahan kerajaan persekutuan yang jatuh ke tangan PH pada masa itu, namun kedua-duanya hanya mampu bertahan selama kira-kira dua tahun.

Itulah Sabah, tiada peristiwa paling banyak berlaku melainkan yang berkisar mengenai drama politik, pertukaran kerajaan dan teraju kepemimpinan yang bersilih ganti.

Kemelut yang berlaku ketika ini pula, belum jelas kesudahannya, meskipun Hajiji sudah mengumumkan mempunyai majoriti 44 Adun untuk mengekalkan kerajaan sedia ada dan beliau sebagai Ketua Menteri.

Umpama kata Bung Moktar, ‘game is not over’, jelas masih ada percaturan cuba dilakukan Umno BN untuk memastikan ‘Langkah Kinabalu’ yang dimulakannya mencapai matlamat untuk menukar kerajaan dan melantik seorang Ketua Menteri baharu. – Malaysiapost

Komen