Dua kakitangan KOSMA direman 6 hari

Dua kakitangan KOSMA direman 6 hari

DUA pegawai kanan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Pahang direman enam hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa meluluskan skim pelaburan saham berjumlah RM229,000 sejak 2017.

Suspek pertama merupakan seorang wanita bertugas sebagai Pengurus Kewangan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA), manakala supsek lelaki merupakan Eksekutif Kanan Kewangan KOSMA.

Perintah reman terhadap kedua-dua supsek berusia 40 dan 49 dikemukakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Muhammad Azrul Izwan Abdul Aziz di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar di Mahkamah Majistret Kuantan.

Mereka ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pahang.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi. – Malaysiapost

Komen