Kabinet baharu Sabah angkat sumpah esok?

Kabinet baharu Sabah angkat sumpah esok?

MAJLIS angkat sumpah Ahli Jemaah Menteri baharu Sabah dikatakan bakal berlangsung di Dewan Kunjungan, Istana Seri Kinabalu pada jam 10 pagi esok.

Ia susulan kenyataan terdapat rombakan Kabinet selepas Barisan Nasional (BN) / Umno menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Surat jemputan yang memaklumkan majlis berkenaan akan diadakan esok pagi tular di media sosial petang tadi.

Sebelum ini, media difahamkan upacara angkat sumpah jawatan anggota Kabinet baharu diadakan semalam, namun ia ditangguhkan berikutan kemelut politik yang masih belum selesai.

Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi restu kepada Hajiji untuk kekal sebagai Ketua Menteri selepas perbincangan dengan semua pemimpin Sabah.

Difahamkan, majlis angkat sumpah esok membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) Sabah yang dibawa masuk selepas tetap menyokong Hajiji.

Mereka dijangka mengisi jawatan menteri yang kosong berikutan tindakan BN/Umno Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri pada minggu lalu.

Difahamkan Adun Umno yang terus menyokong kepimpinan Hajiji kekal memegang jawatan masing-masing. – Malaysiapost

Komen