Kekurangan buruh asing jejas sektor pembinaan negara – Nanta Linggi

Kekurangan buruh asing jejas sektor pembinaan negara – Nanta Linggi

KEKURANGAN lebih 100,000 pekerja asing dalam sektor pembinaan menyebabkan bidang berkenaan tidak dapat bergerak pantas seiring usaha untuk merancakkan semula ekonomi negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kekurangan tenaga kerja asing yang meruncing sejak penularan Covid-19 menyebabkan perkembangan pelbagai sektor ekonomi di Malaysia terbantut.

“Di bawah Kementerian Kerja Raya, sektor pembinaan adalah sektor yang paling terkesan, dengan kekurangan lebih kurang 100,000 pekerja di sektor ini.

“Kelompongan ini menyebabkan sektor ini tidak dapat bergerak pantas seiring usaha untuk merancakkan semula ekonomi negara

“Suasana ekonomi malap yang bukan sahaja melanda negara tetapi juga seluruh dunia menuntut tindakan tuntas dan pantas kerajaan bagi menampan kesan yang lebih kritikal kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang tadi.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas itu membincangkan isu tersebut dengan mendalam bagi melihat kaedah yang boleh menyegerakan dan memudahcarakan kemasukan pekerja asing ke negara ini, tanpa berkompromi dengan isu keselamatan negara.

“Hasil daripada mesyuarat, seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebentar tadi, majikan kini boleh menggaji tenaga kerja asing daripada 15 negara sumber, tanpa perlu melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

“Melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing itu juga, permohonan majikan terbabit boleh diluluskan dalam tempoh tiga hari.

“Usaha ini diharapkan dapat membantu membangunkan semula ekonomi negara demi kebaikan semua,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Nanta berkata, beliau juga telah menyampaikan Amanat Tahun Baru di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR), hari ini.

Nanta berkata, beliau mengingatkan warga KKR, beberapa perkara meliputi konsep ‘Open Door Policy’ dan ‘Ease of Doing Business’ sebagai pemudahcara dalam usaha membangunkan semula ekonomi negara.

“Namun saya tegaskan, konsep ini haruslah diterapkan dengan penuh intergriti dan Aamanah.

“Selain memberi komitmen dalam agenda membaik pulih aset dan infrastruktur yang terjejas akibat bencana alam,” katanya.

Katanya, antara isu lain yang diketengahkan termasuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak serta Sarawak-Sabah Link Road, selain memberi fokus kepada Pelan Strategik Pendigitalan KKR.

“(Perkara lain disentuh) termasuk mengkaji gaji permulaan para jurutera negara. Justeru, besarlah harapan saya agar semua hasrat dan aspirasi ini dapat dicapai dengan kerjasama utuh daripada semua warga KKR,” katanya. – Malaysiapost

Komen