KKM komited tangani isu beban kekurangan zat makanan – Dr Zaliha

KKM komited tangani isu beban kekurangan zat makanan – Dr Zaliha

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk menangani isu beban kekurangan zat makanan dan mengurangkan penyakit tidak berjangkit yang berkaitan dengan diet (NCD).

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM juga akan memperkukuhkan keselamatan makanan serta pemakanan melalui dasar seperti Dasar Pemakanan Nasional Malaysia (NNPM) 2.0.

Beliau menekankan komitmen itu kepada wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Rabi Abeyasinghe, yang juga Ketua Pejabat Negara WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura yang melakukan kunjungan hormat terdapanya.

Menurutnya, dalam pertemuan itu semalam, mereka membincangkan tentang kerjasama meluas WHO dengan Malaysia yang terjalin selama ini, dan untuk meneruskannya dalam meningkatkan reformasi kesihatan di Malaysia.

“Perbincangan turut menyentuh pelbagai isu kesihatan. Saya menegaskan bahawa Malaysia komited untuk mengurangkan NCD, menangani beban berganda kekurangan zat makanan dan meningkatkan status pemakanan.

“Kementerian juga prihatin terhadap kesihatan global manakala dan pengurusan NCD melalui pelbagai program berasaskan komuniti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Hadir sama dalam pertemuan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah (Bahagian Perancangan) Dr Rozita Halina Tun Hussein.

Dr Zaliha berkata, Malaysia turut mengambil bahagian dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EB) WHO ke-152 sebagai Naib Pengerusi Pertama yang bersidang dari 30 Januari hingga 7 Februari, 2023, di Geneva, Switzerland.

“Malaysia akan mencadangkan draf resolusi mengenai Sains Tingkah Laku untuk Kesihatan yang Lebih Baik yang menandakan hasrat Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam seni bina kesihatan global.

“Selain itu, kementerian memberi tumpuan untuk membangunkan Kertas Putih Kesihatan, satu kenyataan kolektif mengenai bagaimana sistem kesihatan boleh menjadi lebih mampan dan berdaya tahan melalui pendekatan menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua pihak juga menyatakan kegembiraan dengan hubungan pelbagai hala yang sangat baik selama ini dan bersetuju tentang keperluan untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada.

Beliau berkata, ia terutama dalam kesihatan digital, pembaharuan penjagaan kesihatan dan pembiayaan serta pengurusan penyakit berjangkit, di mana WHO boleh terus menyediakan bantuan teknikal untuk meningkatkan kapasitinya dalam negara.

“Ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang tindakan segera yang diperlukan untuk memastikan penduduk sihat di samping memastikan penjagaan kesihatan yang mampan dalam jangka panjang,” katanya. – Malaysiapost

Komen