Lokasi skrin besar diperluaskan – Hannah Yeoh

Lokasi skrin besar diperluaskan – Hannah Yeoh

PENYOKONG bola sepak tanah air boleh menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Thammasat, melalui siaran langsung di 25 skrin besar yang disediakan di seluruh negara, malam ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, yang memaklumkan berita baik itu berkata lokasi skrin besar itu diperluaskan berbanding 14 lokasi pada perlawanan separuh akhir pertama pada Sabtu lalu.

“Berita baik! Lokasi ‘Big Screen’ Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia telah diperluaskan ke 25 lokasi untuk perlawanan Thailand menentang Malaysia. Labuan pun ada. Tolong ‘share’ dan ‘enjoy’!” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Inisiatif membawakan menyiarkan perlawanan membabitkan pasukan negara itu dijayakan KBS bersama Kementerian Perpaduan Negara, Perbadanan Stadium Negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Astro.

Terdahulu Hannah turut menegaskan lokasi pemasangan skrin besar bagi aksi separuh akhir Piala AFF 2022 membabitkan skuad Harimau Malaya adalah tidak melibatkan sebarang pertimbangan politik.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu, skuad kebangsaan berjaya menewaskan Thailand 1-0 dan kini hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat ke final Piala AFF 2022.

Menanti di final adalah pasukan Vietnam yang menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, malam tadi.

Vietnam mara dengan agregat 2-0 selepas aksi pertama di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Jumaat lalu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. – Malaysiapost

Komen