Malaysia-Indonesia bincang prestasi industri kedua-dua negara

Malaysia-Indonesia bincang prestasi industri kedua-dua negara

PEMERKASAAN industri yang berterusan dan seiring dengan permintaan di peringkat global amat penting bagi melonjak ekonomi negara, kata Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, menerusi usahasama Malaysia-Indonesia, ekosistem perindustrian kedua-dua negara akan dapat memberikan impak langsung yang positif kepada rakyat.

“Saya berharap kerjasama antara Malaysia-Indonesia dapat terus dieratkan lagi, lebih-lebih lagi dalam meneroka peluang baharu buat ekonomi kedua-dua negara,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatnya iaitu Menteri Perindustrian Indonesia, Agus Gumiwang Kartasasmita dalam lawatan rasminya ke negara itu, hari ini.

“Hari ketiga lawatan kerja rasmi dimulakan dengan perbincangan bersama rakan sejawat saya di Indonesia iaitu Bapak Agus Gumiwang Kartasasmita, Menteri Perindustrian, di pejabat beliau.

“Sebagai rakan sejawat, pastinya perbincangan kami adalah mengenai prestasi industri-industri di Malaysia dan Indonesia, serta langkah-langkah yang boleh memantapkan lagi hubungan perindustrian Malaysia-Indonesia.

“Terima kasih Bapak Agus dan pihak Kementerian atas kesudian menerima kami,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Zafrul memaklumkan jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia bagi 2022 bakal berkembang lebih 30 peratus berbanding 2021.

Beliau berkata, ia berikutan peningkatan aliran perdagangan dua hala bagi barangan dan perkhidmatan selepas pembukaan semula sepenuhnya sempadan kedua-dua negara pada tahun lalu.
Tengku Zafrul berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Indonesia, MITI dan agensi-agensinya yang berkaitan telah menyatakan komitmen untuk terus berusaha bagi mengembangkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dengan Indonesia. – Malaysiapost

Komen