Malaysia terima kuota haji penuh 31,600 tahun ini

Malaysia terima kuota haji penuh 31,600 tahun ini

KUOTA Haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi tahun ini adalah 31,600 orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kuota penuh itu dimaklumkan dalam mesyuarat khas bersama Menteri Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia semalam.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh ini.

“Saya yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang kelima.

“Saya ingin memohon kepada semua umat Islam dapat bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar mempermudah perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 2020, Malaysia diberikan kuota 31,600 jemaah haji namun pada tahun tersebut ibadat haji ditangguhkan susulan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19.

Tahun lalu, Malaysia menerima kuota rasmi sebanyak 14,306 orang susulan langkah kerajaan Arab Saudi mengehadkan kemasukan jemaah luar negara.

Sementara itu Dr Mohd Na’im berkata, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah telah memuji Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

“Saya telah memberi penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya. – Malaysiapost

Komen