Mekanisme kawalan harga barang dikaji semula – Salahuddin

Mekanisme kawalan harga barang dikaji semula – Salahuddin

KERAJAAN akan mengkaji semula mekanisme kawalan harga barang dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, pada masa ini kerajaan sedang meneliti mekanisme yang terbaik dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

“Memang kami akan kaji semula, sebab dah setahun (penetapan harga maksimum),” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2023, hari ini.

Sebelum ini, Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia mahu kerajaan menilai semula mekanisme kawalan harga yang dianggap sudah ketinggalan zaman, menyebabkan barangan terkawal seperti telur, gula dan minyak masak selalu kekurangan dalam pasaran.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin menafikan terdapat kekurangan bekalan minyak masak paket di pasaran seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, katanya, ia hanya melibatkan lokasi tertentu dengan aduan kes yang diterima bahagian penguatkuasaan KPDN membabitkan tempat berkenaan sahaja.

Justeru, beliau meminta pengguna yang memang betul ada menghadapi masalah stok produk itu kurang agar segera mengadu kepada pihak kementerian untuk diambil tindakan. – Malaysiapost

Komen