‘Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar’ – Syamsul Yusof

‘Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar’ – Syamsul Yusof

SELEPAS menamatkan ‘drama’ rumahtangganya apabila mengakui sudah berkahwin dengan Ira Kazar di Thailand minggu lalu, Syamsul Yusof berkongsi gambar kedua-dua isterinya di Instagram (IG), hari ini.

Hantaran yang dimuatnaik sejam lalu itu, meraih perhatian netizen kerana sejak mengumumkan berita berkahwin dua Jumaat lalu, Syamsul hanya berdiam diri dan tenang walaupun dihambat kecaman ramai.

Menerusi hantaran itu, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, telah memuat naik gambar pernikahannya dengan Puteri Sarah Liyana dan juga Ira Kaza.

Dalam kapsyen yang disertakan, dia meminta agar kedua-dua isterinya bersabar dan bertenang termasuklah memohon agar orang ramai mendoakan yang terbaik untuk mereka.

“Morning! Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar. Doakan yang baik-baik,” tulisnya ringkas.

Hantaran ringkas itu dibuat selepas hampir seminggu kisah rumah tangganya menjadi perhatian media termasuklah menerima kecaman pelbagai pihak.

Malah, ibu bapanya iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail turut memberikan kenyataan dengan mengakui kecewa setelah mengetahui Syamsul bernikah di Thailand tanpa pengetahuan keluarga.

Jumaat lalu, Syamsul menggemparkan peminat apabila membuat pengakuan melalui video dirinya sudah bernikah dengan aktres, Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam yang berusia lima tahun dan Summayah, tiga tahun. – Malaysiapost

Komen