Pendengaran permohonan semakan kes Najib ditetapkan 19 Januari

Pendengaran permohonan semakan kes Najib ditetapkan 19 Januari

MAHKAMAH Persekutuan menetapkan hanya sehari iaitu pada 19 Januari ini untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak bagi menyemak semula sabitan dan hukuman penjara terhadapnya berhubung kes SRC International membabitkan wang berjumlah RM42 juta.

Sebelum ini, mahkamah tertinggi itu menetapkan tarikh 19, 20 dan 26 Januari ini untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri itu.

Dalam satu surat kepada pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah memberitahu tarikh 20 dan 26 Januari terpaksa dikosongkan kerana hakim akan mendengar kes lain pada tarikh tersebut, lapor FMT.

Najib memfailkan permohonan semakan tidak lama selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC pada 23 Ogos tahun lalu.

Beliau diarahkan menjalani hukuman penjara 12 tahun bermula dari tarikh itu.

Dalam permohonan semakannya, Najib mahu mahkamah mengenepikan keputusan pada 23 Ogos itu dan kes itu didengar semula di hadapan panel hakim yang baru.

Katanya, beliau diberi nasihat oleh peguamnya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berkata, Najib sudah diberi perbicaraan yang adil dan permohonan semakan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak mempunyai merit. – Malaysiapost

Komen