Perubahan tempat duduk Adun hanya sementara – Speaker Sabah

Perubahan tempat duduk Adun hanya sementara – Speaker Sabah

PERUBAHAN kedudukan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah hari ini hanya bersifat sementara, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Menurutnya, penyusunan semula itu dilakukan untuk memudahkan persidangan DUN khas yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, kedudukan kerusi akan dimuktamad sekiranya kerajaan negeri mengumumkan keputusan untuk rombakan Kabinet.

“Kita perlu membuat susunan untuk sidang DUN yang diadakan hari ini, tidak mungkin kita mahu Dewan kelihatan kosong macam ‘gigi rompang’.

“Ia tertakluk kepada rombakan Kabinet yang akan diumumkan, sama ada ia membabitkan mereka.

“Itu saja yang saya boleh cakap, sebab bukan saya yang memutuskan mereka kekal atau tidak kerana lantikan Kabinet adalah prerogatif Ketua Menteri dan bukan speaker,” katanya seperti dipetik FMT.

Sementara itu, Kadzim berkata, rekod menunjukkan hanya 44 Adun yang menghadiri persidangan khas berkenaan.

Jelasnya, jumlah kehadiran yang dilaporkan pada sidang kali ini merupakan antara terendah pernah dilihat dalam tempoh dua tahun ini.

Ketika ditanya mengenai beberapa Adun yang tidak hadir ke sidang berkenaan, beliau berkata, ia adalah tertakluk kepada alasan masing-masing.

“Saya tidak pernah menolak sebarang permohonan tidak hadir, bila mereka mohon, saya luluskan sebab bukan tugas saya untuk memeriksa kesahihan alasan mereka.

“Ia terpulang kepada mereka, mungkin mereka mempunyai alasan untuk tidak hadir dan tidak dapat hantar permohonan ketidakhadiran, tapi saya tidak boleh buat kesimpulan,” katanya lagi.

Terdahulu, Sidang Khas DUN itu diadakan bagi membentangkan dua rang undang-undang (RUU) iaitu RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023.

Kedua-dua RUU itu telah dibahaskan sebelum diluluskan secara sebulat suara. – Malaysiapost

Komen