“Semoga kes menantu Muhyiddin tidak terlepas dari penyiasatan” – Mohd Puad

“Semoga kes menantu Muhyiddin tidak terlepas dari penyiasatan” – Mohd Puad

SIRI penangkapan membabitkan dakwaan penyelewengan dana bernilai RM92.5 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga 2022 yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini telah bermula.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi, keadaan itu berlaku apabila pihak berkuasa sudah mula membuat tangkapan termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang dikatakan menantu Presiden Bersatu itu.

“Siri penangkapan telah bermula termasuk penangkapan seorang CEO yang dikaitkan dengan Muhyiddin. Semoga kes menantu Muhyiddin tidak terlepas dari penyiasatan.

“Menantu Muhyiddin didakwa dapat projek National Integrated Information System (NIIS) bernilai RM1.16 Bilion. Ia lulus waktu Parlimen digantung oleh Muhyiddin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, mendakwa syarikat S5 System adalah rakan kongsi Iris Information Technology (IRIS).

“Datuk Muhamad Adlan Berhan (menantu Muhyiddin) adalah rakan kongsi IRIS. Katanya IRIS guna konsortium (S5) melobi projek NIIS itu.

“Pengarah Urusan S5 System adalah Syed Mohd Haziq Jamalullail. Dia mengaku S5 ada kepentingan dalam projek NIIS. Haziq juga ahli lembaga TS Muhyiddin Charity Golf,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang CEO sebuah syarikat swasta kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai RM92.5 bilion.

Laporan yang memetik sumber itu mendakwa, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan dalam siasatan kes berkenaan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada 5 Januari lalu dan direman hingga hari ini.

Sumber mendakwa, SPRM membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, penahanan lelaki itu dan menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. – Malaysiapost

Komen