Shahrir akan lapor polis terhadap Tommy Thomas

Shahrir akan lapor polis terhadap Tommy Thomas

BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad akan membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Tommy Thomas.

Menurut Shahrir, ia berhubung dakwaan salah guna kuasa oleh Thomas yang dikatakan mendakwanya di mahkamah tanpa penyiasatan yang lengkap.

“Pendakwaan tanpa penyiasatan yang lengkap tidak mematuhi ‘due process’ sistem pentadbiran keadilan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Minggu lalu, Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada pertuduhan gagal mengisytihar wang RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi Felda itu.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap beliau pada masa datang.

Mahkamah mengguna pakai Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah ketika membebaskan Shahrir selain terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dirujuk oleh pihak pembelaan. – Malaysiapost

Komen