Silibus, kertas peperiksaan BM semua aliran sekolah perlu selaras – Armada

Silibus, kertas peperiksaan BM semua aliran sekolah perlu selaras – Armada

TINDAKAN Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (Jiao Zong) membantah penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek Bahasa Melayu (BM) bagi sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) dan sekolah kebangsaan (SK) adalah tidak munasabah.

Exco Armada Bersatu, Muhammad Zikri Zulkifli, berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya tuntutan perbezaan silibus, masa pengajaran serta kertas peperiksaan bagi subjek Bahasa Melayu antara SK dan SRJK dibuat Jiao Zong.

“Kami berpendapat, alasan yang diberi melalui kenyataan yang dibuat pada 8 Januari oleh Jiao Zong adalah tidak munasabah.

“Antara alasan Jiao Zong, penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua aliran sekolah adalah bertentangan dengan prinsip pendidikan.

“Jiao Zong juga berkata, selain silibus, jumlah masa pengajaran Bahasa Melayu juga berlainan antara SK dan SJK serta bahasa itu merupakan bahasa ibunda murid Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Zikri menegaskan, Bahasa Melayu bukan sahaja merupakan Bahasa ibunda murid Melayu, tetapi juga merupakan Bahasa Kebangsaan negara.

“Jiao Zong seharusnya memahami bahawa proses pendidikan negara turut merangkumi usaha menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan agama melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul dan meluas.

“Justeru itu, Armada Bersatu menyeru agar jumlah masa pengajaran Bahasa Melayu di SRJK ditingkatkan serta silibus Bahasa Melayu di SRJK diselaraskan.

“Ini bakal melahirkan lebih ramai pelajar SRJK yang menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan fasih justeru mengukuhkan usaha menjayakan perpaduan nasional,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Biro Pendidikan Armada Bersatu berkata, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak tunduk dengan tekanan Jiao Zong.

“Serta kekal teguh dengan dasar menggunakan satu kurikulum dan sukatan pelajaran untuk semua subjek, khususnya subjek yang berunsur pembentukan negara bangsa,” katanya.

Kelmarin, Jiao Zong mendakwa penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek Bahasa Melayu (BM) bagi semua aliran sekolah adalah tidak sesuai.

Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee berkata, jumlah masa pengajaran BM adalah berlainan antara SRJK dan SK, selain bahasa itu juga merupakan bahasa ibunda murid Melayu. – Malaysiapost

Komen