Sokong Anwar, Kerajaan Perpaduan jika jadi Presiden Umno – KJ

Sokong Anwar, Kerajaan Perpaduan jika jadi Presiden Umno – KJ

BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berjanji akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau menjadi Presiden Umno.

Khairy berkata, beliau mahu Kerajaan Perpaduan sedia ada ini bertahan, stabil serta tidak menyokong kerajaan pintu belakang, semata-mata mahu perubahan pentadbiran.

Beliau memberi jaminan berkenaan ketika berucap dalam satu forum anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak yang berlangsung di Singapura dan turut dihadiri Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

“Ada kebimbangan sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan Umno, ia akan membawa ketidakstabilan politik serta kejatuhan kerajaan.

“Satu lagi Langkah Sheraton, dan satu lagi kerajaan akan masuk dan seorang Perdana Menteri baharu (akan) mengangkat sumpah.

“Loke, saya ingin katakan dengan jelas di hadapan semua orang di sini, jika saya atau sekutu saya memenangi jawatan Presiden, memenangi kepimpinan parti, kami akan memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, kepada Anwar Ibrahim, dan kepada anda,” katanya seperti dilapor FMT.

Menurut Khairy, pemilihan Umno yang akan datang adalah ‘segala-galanya’, sambil menambah sama ada Umno perlu diperbaharui, relevan, atau ‘berehat dengan tenang’.

Beliau berkata, pemilihan parti adalah peluang Umno untuk melakar hala tuju baharu parti itu.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan itu bertanding kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu tetapi tewas.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu antara pemimpin Umno yang lantang menggesa Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk BN pada PRU15.

Khairy pernah bertanding jawatan Presiden Umno pada 2018, tetapi tewas kepada Ahmad Zahid. – Malaysiapost

Komen