Tiada subvarian Kraken dikesan di Malaysia – Dr Noor Hisham

Tiada subvarian Kraken dikesan di Malaysia – Dr Noor Hisham

TIADA subvarian coronavirus baharu iaitu ‘Kraken’ atau Omicron XBB.1.5 dikesan di Malaysia ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya kini sedang membuat pemantauan lanjut terhadap XBB 1.5 itu yang kini menjadi varian paling dominan di Amerika Syarikat (AS).

Malah, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan negara lain bagi melihat dari segi penularan dan keparahan varian baharu itu.

“Kita masih memantau sama ada XBB 1.5 ada kesannya dari segi keparahan dan penularan, setakat ini ia belum dikesan lagi dalam negara,” katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), XBB.1.5 ialah keturunan subvarian Omicron XBB yang terjadi daripada persilangan antara dua strain terdahulu, BA.2.75 dan BA.2.10.1.

Melalui penjujukan gen dijalankan sekumpulan penyelidik Universiti Stellenbosch daripada sampel pada 27 Disember lalu, saintis mengumumkan varian XBB.1.5 sudah dikenal pasti.

Ia turut digelar sebagai ‘varian Kraken’ oleh sesetengah pihak kerana keupayaannya untuk merebak, malah muncul di saat pihak berkepentingan kesihatan berharap tahun ini bakal menjadi tahun terakhir wabak itu.

WHO berkata, sub-varian XBB.1.5 bukan saja disahkan meningkat, tetapi sukar dikenal pasti di lebih 27 negara. – Malaysiapost

Komen