Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada Michelle Yeoh

Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada Michelle Yeoh

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh.

Ucapan yang disampaikan melalui hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara itu, adalah atas kejayaan melakar sejarah sebagai pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Selain itu, ianya juga sekali lagi membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa,” menurut hantaran itu.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Tan Sri Michelle Yeoh dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Tan Sri Michelle Yeoh memenangi trofi itu bagi lakonannya dalam filem “Everything Everywhere All At Once”.

Beliau menewaskan pesaing iaitu Lesley Manville yang membintangi “Mrs. Harris Goes to Paris”, Anya Taylor-Joy (“The Menu”); Emma Thompson (“Good Luck To You, Leo Grande”) dan Margot Robbie (“Babylon”). – Malaysiapost

Komen