Bung Moktar dakwa pelantikan TKM, menteri bukan wakil Umno Sabah

Bung Moktar dakwa pelantikan TKM, menteri bukan wakil Umno Sabah

PELANTIKAN dua potfolio menteri baharu termasuk Timbalan Ketua Menteri (TKM) bukan mewakili Umno dan tidak diiktiraf oleh Umno Sabah, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu juga mendakwa keputusan berkenaan membelakangkan parti dan mereka hanya mewakili individu untuk kepentingan diri masing masing tanpa memikirkan masa depan Umno secara menyeluruh.

“Pelantikan kabinet baharu melibatkan dua Adun Umno ini tidak mewakili parti, dan kita tidak membuat sebarang pengiktirafan berkenaannya.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili Umno dalam barisan kabinetnya, “katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Bung Moktar digugurkan daripada Kabinet baharu Hajiji, hari ini.

Dalam rombakan Kabinet terbaharu itu, Hajiji mengumumkan Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Pertanian.

Selain itu, Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu manakala Datuk James Ratib (Sugut) dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Kedua-dua termasuk tiga lagi Adun Umno lain sebelum ini tidak menyertai gerakan Pengerusi BN Sabah itu untuk menarik sokongan terhadap Hajiji.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, pihaknya sedang membawa perkara berkenaan untuk dihadapkan kepada lembaga disiplin parti kerana membelakangkan keputusan Umno dan BN Sabah.

“Kita akan berbincang dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil sebarang tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata Kabinet baharu itu sekali gus memperlihatkan sikap Ketua Menteri yang didakwa membelakangkan pandangan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu Kerajaan Perpaduan

“Ketua Menteri nampaknya membelakangkan pandangan PM untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah, perlu diingat pembentukan kerajaan pusat, BN merupakan penyumbang kepada kerajaan Perpaduan.

“Saya juga berharap Ketua Menteri bersikap adil dengan rakan-rakan dalam kabinet tanpa melibatkan campur tangan secara langsung dalam pentadbiran Kementerian masing masing.

“Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya. – Malaysiapost

Komen