Demi teman anak hidap tumor otak, bapa sanggup ‘berkhemah’ dalam kereta

Demi teman anak hidap tumor otak, bapa sanggup ‘berkhemah’ dalam kereta

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa. Itulah ungkapan sesuai tentang pengorbanan seorang bapa yang tular berkhemah dengan kenderaannya di sebuah hospital untuk berada dekat dengan anaknya yang kini sedang menjalani rawatan.

Terdahulu, tular gambar seorang bapa nekad berkhemah di kawasan parkir kereta di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak demi menemani anak bongsunya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-kanak di hospital berkenaan.

Tidak betah berdiam diri, lelaki berkenaan menjelaskan tindakannya berbuat demikian bukan kerana mahu ia ‘viral’, sebaliknya mengakui perlu berjimat serta tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan perjalanan dan tempat tinggal sepanjang tempoh rawatan anaknya.

Menerusi akaun Facebook, Ryu Watanabe Miyuka memaklumkan anaknya yang berusia tujuh tahun kini didiagnosis dengan ketumbuhan di kepala dan sekarang berada di ICU hospital berkenaan.

“Saya tuan gambar yang tular itu, saya bukan sengaja nak tular. Saya duduk di Sungkai, jadi nak berulang-alik sudah makan kos. Nak sewa bilik pula harga RM80 ke RM90 semalam.

“Saya tidak ada pilihan lain selain tidur dalam kereta untuk dapatkan apa-apa keputusan doktor dengan cepat. Selain itu, saya juga nak jimatkan kos perbelanjaan saya dan ingin selalu dekat dengan isteri serta anak,” katanya di ruangan komen.

Sementara itu, dia juga memohon doa daripada orang ramai untuk kesembuhan anak bongsunya dan semoga segala urusan rawatan dipermudahkan.

Kenyataan lelaki itu sekali gus mengundang komen pelbagai pihak yang rata-rata bersimpati dan mendoakan agar anaknya segera sembuh serta dipermudahkan urusan keluarga berkenaan.

Malah, ada juga yang berkongsi pengalaman sama di mana terpaksa ‘berkorban’ semata-mata untuk menemani ahli keluarga dan orang tersayang yang dimasukkan ke hospital.

“Saya pernah lalui isteri tiga bulan dalam hospital tapi, Alhamdulillah hospital 20 minit dari rumah. Tapi masih penat berulang setiap hari dan ada masa bila bini kena masuk ’emergency’, saya tidur dalam surau hospital sementara tunggu,” kata Amirul Amin Aliasgar.

“Suami saya pernah seminggu cuti temankan saya jaga anak di wad opret pendarahan di otak masa tu di HSA, duduk berkampung dalam kereta,” kata Firdauz Dihati Kami.

“Kesian tengok abang ini. Itu sahaja cara dia untuk dekat bersama keluarga, lebih-lebih lagi demi anak yang mendapat rawatan. Kasihnya ayah, terbina dengan pegorbanan,” komen Johari pula.

“Ya betul, mereka yang pernah alami keadaan begini saja yang tau belbagai cerita gembira, duka dan lucu,” kata Udin Berahim.

“Semoga Allah permudahkan segala urusan dan semoga Allah memberi kesembuhan pada anak encik. Amin” kata Amirul Firdaus. – Malaysiapost

Komen