Ditawar AS30,000 untuk wang lama RM2, tentera rugi RM26,000

Ditawar AS30,000 untuk wang lama RM2, tentera rugi RM26,000

TERPEDAYA dengan tawaran sebanyak AS30,000 untuk wang lama RM2 dimilikinya, seorang anggota tentera kerugian sebanyak RM26,120 selepas ditipu dalam urusan jual beli wang lama berkenaan.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang menerima laporan mengenai kes berkenaan pada Ogos tahun lalu.

Menurutnya, mangsa berusia 25 tahun telah melayari aplikasi Instagram dan melihat iklan pembelian wang lama dan mangsa berminat dengan tawaran AS$30,000 untuk menjual wang RM2 lama miliknya.

“Mangsa telah diminta membuat pembayaran wang pendahuluan terlebih dahulu, kononnya untuk mengaktifkan akaun antarabangsa.

“Lelaki terbabit terpedaya sehingga membuat 11 transaksi sebanyak RM26,120.00 kepada 11 akaun berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian lain, belia berkata, seorang suri rumah berusia 63 tahun pula kerugian RM40,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan emas tidak wujud.

Katanya, mangsa mendakwa bertemu wakil syarikat untuk membuat pelaburan emas yang dijanjikan pulangan modal dalam masa 30 hari dan 60 hari untuk keuntungan dividen serta dinar emas pada 16 Ogos tahun lalu.

“Mangsa berminat dan menyerahkan wang tunai RM40,000 kepada wakil syarikat bagi tujuan pelaburan terbabit, namun tidak menerima sebarang pulangan daripada syarikat terbabit sehingga hari in,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dan urusan jual beli wang lama.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya. – Malaysiapost

Komen