Isu rumah tangga tak perlu dibawa ke khalayak awam – Ahmad Dusuki

Isu rumah tangga tak perlu dibawa ke khalayak awam – Ahmad Dusuki

ISU rumah tangga setiap mukmin tidak perlu dibawa kepada khalayak awam yang sukar memahami situasi dan keadaan berkeluarga.

Perkara itu dinyatakan pemimpin PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani mengulas kemelut rumah tangga melibatkan pengarah, Syamsul Yusof dan isterinya, Puteri Sarah Liyana.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu menjelaskan, kekeluargaan penuh dengan seni yang tersendiri, iaitu Allah menjadikan perangai dan akhlak manusia berbeza-beza.

Justeru, katanya, kekeluargaan perlu kepada perbincangan.

“Selama mana wujudnya perbincangan yang baik, nescaya akan menatijahkan yang baik.

“Sebaliknya jika tiada ruang perbincangan sesama keluarga, akan menatijahkan keadaan buruk. Mari kita doakan kebahagiaan kepada setiap keluarga mukmin yang sentiasa mentaati perintah Allah,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu malam tadi, Syamsul berkata beliau tidak mahu lagi kemelut rumah tangganya terus menjadi mainan di media sosial.

Sebaliknya pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mahu berbincang secara baik dengan Puteri Sarah yang juga isteri pertamanya di rumah bagi melerai segala kekusutan.

Sehubungan itu Syamsul meminta Puteri Sarah pulang ke rumah bagi membincangkan kemelut rumah tangga termasuk permintaan untuk dilepaskan.

“Pintu rumah sentiasa terbuka, kita hendak berpisah ataupun bersama dan kalau itu yang awak nak, baliklah ke rumah.

“Jangan berbincang dalam media sosial, untuk apa fitnah sana sini? Awak berkongsi kembali entri mereka yang mengecam dan hina suami awak… Saya faham perasaan awak dan lepas ini dia pula buat video. Jadi, bila nak habis?

“Okay saya salah, atau awak tak salah… Kita balik bincang di rumah. Apa saja isu, lebih baik bincang di rumah saja,” katanya menerusi video dimuat naik di Instagram. – Malaysiapost

Komen