MITI komited tingkat pelaburan rentas sempadan

MITI komited tingkat pelaburan rentas sempadan

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi pelaburan rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Azizi, berkata antara bidang kerjasama yang bakal diterokai meliputi farmaseutikal, aeroangkasa, pemprosesan minyak sawit, barangan pengguna, serta pertahanan dan keselamatan.

“Ini dicerminkan menerusi pertukaran sembilan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara syarikat-syarikat Malaysia dan Indonesia, dengan jumlah nilai potensi pelaburan melebihi RM1.6 bilion,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, MITI juga telah menerajui perbincangan dua hala mengenai potensi pelaburan dan projek pembangunan oleh syarikat-syarikat tempatan di ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

“Sebelas Surat Niat telah diserahkan oleh sepuluh syarikat Malaysia, yang telah menzahirkan hasrat untuk turut serta di dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia.

“Syarikat-syarikat ini mempunyai kepakaran dan kelayakan di dalam bidang-bidang seperti E&E, automotif, pembuatan barangan industri, pengurusan sisa, teknologi bandaraya pintar, perumahan, penjagaan kesihatan, kejuruteraan M&E, utiliti dan tenaga lestari,” katanya.

Beliau berkata, cadangan usahasama bagi manfaat bersama kedua-dua negara ini telah juga dibincangkan di dalam pertemuan antara MITI dengan beberapa kementerian di Indonesia.

“(Antaranya) Menteri Syarikat-Syarikat Awam; Menteri Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan; Menteri Perindustrian, Menteri Kerja Raya dan Perumahan, serta Menteri Perdagangan,” katanya.

Terdahulu dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia Ahad lalu, menyaksikan pertukaran sembilan MoU melibatkan syarikat-syarikat Malaysia bagi pelbagai projek dan kerjasama selain sesi penyerahan surat hasrat (LoI). – Malaysiapost

Komen