Pahang mula agih Bantuan Wang Ihsan banjir

Pahang mula agih Bantuan Wang Ihsan banjir

Ben Ibrahim

PENDUDUK terjejas banjir di Pahang dijangka menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) selewat-lewatnya 16 Februari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata proses pengagihan BWI itu sudah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang diadakan hari ini.

“Bantuan ini disalurkan kepada 802 ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan setiap KIR menerima RM1,000 dan akan diserahkan kepada penerima selewat-lewatnya pada 16 Februari 2023.

“Ini adalah peruntukan awal disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM1 juta kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sebanyak tujuh daerah di Pahang terbabit dalam kejadian banjir ketika Monsun Timur Laut hujung tahun lalu.

Daerah itu adalah Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan.

“Saya berharap mereka yang menerima Bantuan Wang Ihsan ini dapat menggunakan sumbangan ini untuk membeli barang keperluan dan perkakasan bagi mengurangkan beban ditanggung.

“Saya juga berdoa semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada segala musibah dan juga bencana,” katanya. – Malaysiapost

Komen