PAU 2022 tidak akan umum tarikh pemilihan Umno – Ahmad Maslan

PAU 2022 tidak akan umum tarikh pemilihan Umno – Ahmad Maslan

TARIKH pemilihan Umno tidak akan diumumkan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata, parti itu mempunyai tempoh masa selama enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada 19 November lalu.

“Tentunya ada perbahasan perwakilan akan menyentuh tarikh pemilihan parti.

“Pemilihan hendaklah diadakan sebelum 19 Mei. Dalam tempoh enam bulan selepas membuang undi pada PRU Persekutuan dan Dewan Rakyat.

“Segala pemilihan hendaklah diselesaikan sebelum 19 Mei 2023. Jadi pengumuman mengenai tarikh pemilihan Umno tidak dibuat semasa PAU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena PAU 2022 di Laman Media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai fokus Umno pada PAU 2022 ini, Ahmad menjelaskan parti itu memberi tumpuan bagaimana melangkah ke hadapan selepas menunjukkan prestasi buruk pada PRU15 lalu.

“Sudah tentu kita memberi fokus bagaimana kita ingin (Umno) melangkah ke hadapan.

“Apa yang boleh dipelajari dari PRU15 walaupun menang tujuh PRK, PRN Johor dan Melaka sebelum ini, yang ketika itu semuanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden, kenapa PRU15 kita tak dapat ulangi kejayaan seperti PRK dan PRN itu.

“Tentu ada sebab luar biasa kami tewas sehingga menang 30 kerusi sahaja. Kita ingin dengar kenapa ianya berlaku, mungkin wujud keluarbiasaannya,” katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, PAU 2022 juga akan memberi fokus kesiapsiagaan Umno untuk menghadapi enam PRN tidak lama lagi.

“Kita juga fokus, apakah persiapan kita dalam menghadapi PRN di enam buah negeri tahun ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen