Pemaju perlu baik pulih rumah retak bermula Mac

Pemaju perlu baik pulih rumah retak bermula Mac

Ben Ibrahim

KERAJAAN Pahang mengarahkan pemaju projek perumahan Aman Plus, dekat Sungai Soi, Kuantan memulakan kerja baik pulih keretakan pada unit kediaman bermula Mac ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat antara pihak pemaju dan jabatan berkaitan semalam.

“Minggu lalu saya melawat projek perumahan itu dan ketika tinjauan, saya dapati terdapat lebih 30 unit kediaman mengalami keretakan serius dipercayai akibat projek pembentungan bersebelahan tapak projek perumahan berkenaan.

“Namun dalam mesyuarat hari ini (semalam) kita terima laporan terdapat lebih 100 unit (kediaman) yang terjejas teruk dan saya sudah maklumkan kepada pemaju supaya baiki segera (kerosakan) unit terbabit.

“Wakil syarikat yang melakukan kerja pembentungan juga hadir (dalam mesyuarat) dan saya diberitahu ia akan siap Mac ini, jadi selepas Mac barulah kerja baik pulih boleh dimulakan pemaju,” katanya dalam sidang media di Kuantan.

Ditanya kos baik pulih unit kediaman dan pihak mana akan menanggungnya, Johari berkata, perbincangan semalam memutuskan pihak pemaju akan menanggung sepenuhnya kos baik pulih.

“Soal mereka (pemaju) nak saman menyaman dengan pihak syarikat pembentungan itu bukan menjadi persoalan kepada kerajaan negeri, itu hak mereka.

“Kita cuma nak jaga kepentingan pembeli unit kediaman, mereka sudah beli rumah dan kena bayar pinjaman bank, tapi rumah tak selamat untuk diduduki, jadi pemaju kena selesaikan perkara ini.

Sebanyak 384 unit kediaman dibina oleh pemaju projek perumahan Aman Plus Fasa Dua dan sekurang-kurangnya 100 unit mengalami kerosakan, termasuk retakan pada bahagian dinding dan struktur lain.

Johari turut memaklumkan terdapat juga unit kediaman yang perlu dibina semula kerana mengalami kerosakan struktur terlalu kritikal dan tidak dibaik pulih.

Setiap unit kediaman dijual pada harga antara RM200,000 hingga RM300,000 dan sepatutnya sudah boleh didiami pembeli awal tahun ini. – Malaysiapost

Komen