Pemuda PAS sokong teks BM jadi versi rasmi Perlembagaan Persekutuan

Pemuda PAS sokong teks BM jadi versi rasmi Perlembagaan Persekutuan

DEWAN Pemuda PAS menyokong cadangan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun agar kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata tindakan itu selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan yang menyebut sekiranya ada isu percanggahan, maka teks bahasa Melayu hendaklah mengatasi bahasa Inggeris.

“Tambahan pula, teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan telah pun wujud dan dilancarkan Yang di-Pertuan Agong sejak 2003 lagi.

“Maka, ini bukan lagi persoalan terjemahan. Ini soal perlaksanaan agar menjadikan teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad yang akan dirujuk oleh semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, cadangan berkenaan adalah tindakan baik dan wajar disambut segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Katanya, usaha tersebut selari dengan pemerkasaan Bahasa Kebangsaan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara.

“Usaha ini sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kekeliruan yang berlaku di mahkamah, memberi penafsiran yang lebih tepat terhadap peruntukan Perlembagaan.

“Serta tidak mengenepikan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, serta aspirasi perjanjian sosial yang sudah lama termeterai,” katanya.

Dalam pada masa sama beliau berkata, Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan penuh kepada usaha baik itu.

Kelmarin, Idrus mencadangkan agar kerajaan menjadikan edisi bahasa Melayu versi muktamad bagi perundangan tertinggi di Malaysia.

Justeru, Jabatan Peguam Negara berhasrat mahu menyarankan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan dijadikan teks rasmi dan bermula tahun ini.

Langkah itu juga selaras Perkara 160B perlembagaan tersebut yang menyebut sekiranya ada isu percanggahan, maka teks bahasa Melayu hendaklah mengatasi bahasa Inggeris. – Malaysiapost

Komen