‘Perang kognitif’ dilancar PN punca Umno tewas PRU-15 – Mohamad Hasan

‘Perang kognitif’ dilancar PN punca Umno tewas PRU-15 – Mohamad Hasan

UMNO tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah berpunca daripada ‘perang kognitif’ yang dilancarkan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perang kognitif dilancarkan lawan secara konsisten dengan menggunakan ruang maya, sebagai lubuk, untuk menanam sentimen jahat, terhadap Umno.

Menurutnya, Umno digambarkan sebagai rasuah, kotor, gila kuasa, dan segala kata nista, yang menjengkelkan.

“Tidak cukup dengan itu, mereka melabel, pemimpin kita, kleptokrat, tidak bermoral, dan segala macam lagi, tohmahan lain, yang mampu mencemar kepimpinan kita.

“Semuanya disampaikan, dalam pelbagai bentuk grafik, video, dan banyak lagi naratif lain. Dipancar, dan disebar, luaskan melalui platform Tik Tok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan Twitter,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, malam ini.

Menurutnya, menjelang PRU-15, strategi ‘perang’ itu digiatkan berlipat kali ganda, selain Umno turut diserang hebat, oleh ‘cybertroopers’, dari pelbagai arah.

“Motif mereka adalah, untuk mempengaruhi pemikiran, dan mengubah keyakinan masyarakat, terutamanya orang Melayu, bahawa Umno tidak layak, menjadi wakil mereka.Sehari demi sehari, ia menjadi kepercayaan, dan keyakinan rakyat, bahawa Umno itu, sinonim dengan segala kecurangan dalam politik.

“Inilah, yang PN lakukan dengan berkesan. Mempengaruhi golongan muda, dan pengguna media social, seperti Tik Tok, dan Instagram, dengan melancarkan, perang besar-besaran, dengan ‘content’ yang toksik, untuk mengajak orang Melayu, membenci, serta meninggalkan Umno,” katanya.

Mohamad berkata, strategi ‘perang kognitif’ itu ternyata sangat berjaya dengan tsunami Melayu melanda Utara, dan Pantai Timur Semenanjung, dengan pengundi Melayu berduyun-duyun menolak Umno.

“Kita tewas, tanpa memenangi satu kerusi parlimen pun, di Kelantan, Terengganu dan Perlis. Kita turut gagal, mempertahankan semua, kerusi parlimen di Kedah, termasuklah yang disifatkan, sebagai kerusi selamat, seperti Padang Terap.

“Di Perak, kita tewas dengan dahsyat, dan demikianlah, impak ‘perang kognitif’ terhadap kita,” katanya.

Menurutnya, apa yang paling menyedihkan ialah, kita jauh ketinggalan, dalam memanfaatkan, tren ‘politik digital’ ini, di mana ketika pihak lawan giat berkempen, dan ‘membaham’ di media sosial, Umno gagal, mempertahankan diri.

“Kita tewas, kerana kita gagal, beradaptasi dengan kepentingan, menggunakan teknologi, dan maha data (big data), dalam rencana pilihan raya kita,” katanya. – Malaysiapost

Komen