PM bincang pembangunan, naik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja

PM bincang pembangunan, naik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan cadangan pembangunan dan menaik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja di ibu negara, agar golongan berkenaan tidak ketinggalan.

Cadangan itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL Datuk Azmi Abdul Hamid di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

“Perbincangan itu melibatkan cadangan pembangunan dan naik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Penjaja dan peniaga kecil merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara yang perlu diberikan perhatian agar tidak ketinggalan dalam kepesatan pembangunan di ibu negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Anwar berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya di kawasan bandar, perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang selesa kepada penjaja dan peniaga kecil, agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan suasana kondusif.

Perdana Menteri berkata, kemudahan itu perlu disediakan, memandangkan kumpulan berkenaan turut menjadi penyumbang kepada ekonomi negara, menerusi perniagaan yang dijalankan. – Malaysiapost

Komen