Polis siasat kes butik terkemuka di KL sorok kamera dalam ‘fitting room’

Polis siasat kes butik terkemuka di KL sorok kamera dalam ‘fitting room’

POLIS sedang menyiasat tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar orang awam di dalam bilik persalinan di sebuah butik pakaian dipercayai di Kuala Lumpur, yang diperoleh melalui kamera tersembunyi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata, pihaknya sudah menerima laporan kejadian tersebut Ahad lalu dan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian sebenar.

“Laporan polis sudah diterima daripada pengurus pengawal keselamatan sebuah butik pakaian di Jalan IMBI, bagaimanapun hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian tidak berlaku di premis pengadu, disyaki di lokasi lain.

“Hari ini juga pihak kami turut terkesan satu video berdurasi 11 saat yang dimuat naik pengguna Twitter @Meleisgw yang memaparkan rakaman video daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat membeli belah.

“Perbuatan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila beberapa tangkap layar rakaman video di dalam bilik persalinan di sebuah butik pakaian terkemuka tersebar meluas sejak malam tadi.

Difahamkan, video rakaman tersebut dijual kepada orang awam di sebuah aplikasi media sosial dan turut dipromosi secara meluas di akaun media sosial dikenali @Hiddencamxx.

Malah, aksi bercumbu dipercayai sepasang kekasih juga turut dirakam dalam video tersebut.

Kejadian itu juga menimbulkan kemarahan orang awam kerana tindakan butik pakaian itu yang dikatakan sengaja meletakkan kamera CCTV tersembunyi di bilik persalinan adalah mencabuli hak pelanggan.

Menurut mereka, bilik persalinan itu sepatutnya menjadi ruang privasi buat pelanggan yang mencuba pakaian di butik terbabit.

Difahamkan, H&M Malaysia telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut dan menjalankan pemeriksaan di premis cawangan berkenaan. – Malaysiapost

Komen