Shahelmey dilantik Timbalan KM, 2 Adun PH angkat sumpah jawatan menteri Sabah

Shahelmey dilantik Timbalan KM, 2 Adun PH angkat sumpah jawatan menteri Sabah

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu.

Beliau menggantikan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memegang kedua-dua jawatan itu sebelum ini.

Dalam pada itu, dua Adun Pakatan Harapan (PH), Christina Liew dan Phoong Jin Zhe mengangkat sumpah jawatan jemaah menteri kerajaan Sabah, hari ini.

Turut mengangkat sumpah ialah Adun Barisan Nasional (BN) James Ratib.

Tiga Adun itu antara yang mengangkat sumpah jawatan dalam rombakan Kabinet Sabah diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Istana Negeri, Kota Kinabalu.

Sementara itu Hajiji menerusi kenyataan berkata rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang bagi membentuk satu pasukan yang kuat.

Katanya, menyedari keperluan membentuk satu pentadbiran inklusif, beliau memasukkan Adun dari PH ke dalam Kabinet, sebagai tambahan di samping wakil dari Umno/BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati.

“Kerajaan negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan lancar tanpa sebarang gangguan seperti diharapkan oleh rakyat.

“Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini,” katanya.

Tambah Hajiji, bersama satu pasukan yang kukuh, kerajaan negeri pimpinannya akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.

“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” katanya. – Malaysiapost

Komen