Sudah tiba masanya, agenda Melayu Umno disemak.

Sudah tiba masanya, agenda Melayu Umno disemak.

AGENDA Melayu Umno perlu disemak dan diberi lonjakan baharu serta ditambah nilai demi kemajuan bangsa dan tanah air, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menegaskan, memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu, tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain, dalam apa jua cara.

“Sudah tiba masanya, agenda Melayu Umno disemak. Ia mesti direkayasa, diberikan lonjakan baru, dan ditambah nilai.

“Dengan semakan semula Agenda Melayu ini, Umno akan ada tawaran baru, atau ‘a new deal’, kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” ucapnya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, malam ini.

Menurutnya, Umno akan merangka agenda paling progresif untuk bangsa Melayu demi memajukan mereka.

“Inilah iltizam kita yang sewajarnya, untuk tanah air melalui Umno. Tugas kita selepas ini, adalah meyakinkan semua pendukung Umno, dan orang Melayu, agar mereka berkongsi iltizam ini. Yang kurang, ditambah baik. Yang tertinggal, dilengkapkan. Yang kabur, dijelaskan.

“Tetapi yang paling penting, tiada sebab pendukung Umno dan orang Melayu, harus menolak keazaman baru ini. Seruan ke arah kebaikan, adalah seruan yang mesti kita bangunkan bersama.

“Kepada semua di luar sana. Dengarkanlah, nantikanlah, dan saksikanlah. Dengan iltizam awal ini, akan bermulalah episod pengislahan sebenar Umno, inysa-Allah,” katanya. – Malaysiapost

Komen