TH terima anugerah Perkhidmatan Bimbingan Haji Dunia Islam

TH terima anugerah Perkhidmatan Bimbingan Haji Dunia Islam

LEMBAGA Tabung Haji (TH) merangkul Anugerah Labaittom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam (Best Awareness Program in the Islamic World).

Anugerah itu diterima daripada kerajaan Arab Saudi sempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah, Arab Saudi.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah telah menyampaikan anugerah tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar semasa persidangan berlangsung bermula 9 Januari lalu.

Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 disertai 56 negara termasuk Malaysia yang diwakili oleh TH.

Dr Mohd Na’im berkata, keupayaan TH membimbing Jemaah Haji Malaysia agar mempunyai pengetahuan yang baik dalam ibadat haji sentiasa mendapat pujian dan diiktiraf pelbagai pihak, terutama kerajaan Arab Saudi.

“Ini hadiah yang amat bermakna buat TH, lebih-lebih lagi tahun ini merupakan ulangtahun TH ke-60.

“Anugerah ini juga pengiktirafan buat negara kerana berjaya melahirkan sebuah institusi unik yang kini menjadi contoh kepada negara Islam lain,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa atas usaha memberi bimbingan ibadat haji dan program kesedaran dalam aspek menjaga kesihatan kendiri, peradaban serta kepentingan kebersihan persekitaran.

Setiap tahun, TH menganjurkan kursus haji secara fizikal dan dalam talian di samping menyediakan pembimbing ibadat haji untuk sesi bimbingan di tanah suci semasa jemaah mengerjakan ibadat haji.

Secara keseluruhannya, TH menyediakan lebih 500 Pengkursus Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) untuk membantu para jemaah.

Antara kursus dianjurkan TH adalah kursus asas haji, kursus intensif haji, kursus perdana haji dan kursus khas haji.

TH juga menganjurkan Muzakarah Haji setiap tahun selepas musim haji bagi meningkatkan lagi keberkesanan bimbingan haji termasuk menambahbaik modul kursus haji serta penerbitan yang dihasilkan demi kepentingan umat Islam Malaysia semasa melaksanakan ibadat di tanah suci. – Malaysiapost

Komen