Tiadanya undi bukan Melayu, adalah resipi kematian Umno – Mohamad Hasan

Tiadanya undi bukan Melayu, adalah resipi kematian Umno – Mohamad Hasan

PERTENTANGAN Umno dengan DAP sejak berpuluh tahun, tidak menjadikan Umno lebih ‘Melayu’, malah sokongan daripada orang Melayu jelas semakin merosot selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, tegas Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, pendirian menentang DAP itu tidak menjadikan Umno semakin kuat atau semakin berpengaruh.

“Biar saya tegaskan di sini juga, bahawa selama berpuluh tahun, kita bertentangan dengan DAP. Semua orang tahu itu.

“Tetapi, adakah dengan pendirian sedemikian, orang Melayu berduyun-duyun mendukung kita. Dan menjadikan kita semakin kuat, dan semakin berpengaruh, dengan pendirian sedemikian?

“Keputusan beberapa pilihan raya umum lepas, jelas menampakkan bahawa, disebalik cemuhan kita kepada DAP, sokongan Melayu tidak meningkat. Malah merosot,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, malam ini.

Menurutnya, faktor yang mendorong orang Melayu, menyokong atau menolak Umno ternyata bukanlah pendirian terhadap DAP, sebaliknya bergantung kepada kemampuan meyakinkan orang Melayu.

“Yang menjadi kayu ukur sokongan Melayu ialah integriti, tadbir urus, kompetensi dan prestasi kita. Bukan kerana semata-mata kita menentang ideologi parti itu dan parti ini,” katanya.

Beliau berkata, sokongan masyarakat bukan Melayu juga merosot dengan amat drastik semenjak beberapa PRU lalu, sehingga dalam keadaan tertentu Umno tewas kerana tidak mampu, mendapat walau lima peratus, sokongan daripada mereka.

“Telah lama kita abaikan, undi golongan bukan Melayu ini. Jadi, kita mesti meneroka, strategi lautan biru, jika kita ingin berkelangsungan.

“Kehilangan undi Melayu, dan tiadanya undi bukan Melayu, adalah resipi kematian Umno,” tegasnya.

Mohamad berkata, justeru itu Umno mesti, meneroka potensi politik yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Dengan pendirian yang UMNO ambil, dalam menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan, mungkin akan membuka ruang, untuk masyarakat bukan Melayu, membina semula keyakinan kepada Umno, bahawa Umno adalah parti yang rasional.

“Yang mengutamakan rakyat. Mengutamakan perpaduan dan kepentingan nasional,” katanya. – Malaysiapost

Komen