Umno Sabah perlu juara di hati rakyat – Rahman Dahlan

Umno Sabah perlu juara di hati rakyat – Rahman Dahlan

Najamuddin Mohd Nor

UMNO Sabah perlu terus memandang ke hadapan dan melupakan pergolakan politik yang tercetus di negeri berkenaan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Menurutnya, Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah perlu memanfaatkan baki tempoh bersama dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kebaikan rakyat negeri itu.

“Macam ini lah, saya secara peribadi melihat tiada keperluan untuk membuat apa-apa perubahan untuk negeri Sabah.
Sudah tentu rakyat masih tidak mahu adanya pergolakan buat masa ini.

“Oleh kerana keadaan telah berlaku, kita telah cuba menyelamatkan keadaan, kita masih lagi bersama dengan kerajaan GRS.

“Hari ini pemimpin-pemimpin Umno masih berada dalam Kabinet, tetapi saya ingin melihat ke depan, kita masih ada dua tahun setengah untuk memastikan rakyat dan negeri Sabah dibela oleh kerajaan yang ada sekarang ini termasuk Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Taklimat Presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai pergolakan politik Sabah, Abdul Rahman menjelaskan, perkara itu telah berlaku dan semua pihak perlu mengambil pendekatan bertenang.

Beliau juga menaruh keyakinan kebijaksanaan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar dapat menyelesaikan pergeseran politik melibatkan pemimpin-pemimpin tertentu di negeri berkenaan.

“Soal pergeseran pendapat di antara pemimpin itu, saya pasti Presiden akan dapat merungkaikannya.

“Tetapi buat masa ini tempoh bertenanglah, apa yang berlaku dah berlaku. Keputusan telah pun dibuat kerajaan negeri masih lagi berfungsi dan saya harap Umno Sabah terus bergerak ke depan dan menjadi juara kepada rakyat negeri Sabah,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Putatan dari BN, Datuk Shahelmey Yahya yang sebelum ini merupakan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Shahelmey menggantikan jawatan yang dahulunya dipegang oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beliau akan turut memegang portfolio sebagai Menteri Kerja Raya.

Pelantikan Shahelmey, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu susulan rombakan Kabinet Negeri yang dilakukan hari ini.

Rombakan itu dilakukan selepas Bung Moktar bersama 12 ADUN BN lain menarik sokongan daripada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah pada Jumaat lalu.- Malaysiapost

Komen